ANNUAR Musa ketika ditemui wartawan di Pusat Penjumlahan Undi di Politeknik Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR Musa ketika ditemui wartawan di Pusat Penjumlahan Undi di Politeknik Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Zulkifli Zainuddin


CALON Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan majoriti terbesar pernah diperolehnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO memperoleh majoriti 4,626 undi berbanding 974 pada PRU-13 lalu menewaskan calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Dr Mohd Radzi Mohd Jidin.

“Alhamdulillah, majoriti ini adalah paling besar saya pernah dapat dan saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk membangunkan lagi Ketereh ini.

“Walaupun berjaya mengekalkan ahli Parlimen, kemungkinan peranan saya berdepan cabaran di Dewan Rakyat. Tapi yang pastinya politik negara akan berubah,” katanya ketika ditemui, di Pusat Penjumlahan Undi, di Politeknik Kota Bharu, di sini, hari ini.

Selain Annuar, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad juga berjaya mempertahankan kerusinya dengan peningkatan majoriti iaitu 1,122 berbanding 169 undi pada PRU-13.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan memperoleh 10,921 undi menewaskan pencabarnya dari calon PAS, Nik Mahadi Nik Mahmood (9,799 undi) dan calon PKR, Dr Mohd Hanafi Ismail (1,779 undi).

Bagi DUN Kadok dan Melor, calon BN terutama Pemuda UMNO Kelantan, Mohammad Azam Ismail gagal merampas kawasan terbabit daripada calon PAS yang masih berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu dilakukan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Ahmad Robert Abd Rahim, yang selesai 1.55 pagi tadi.

Sebanyak 83.4 peratus daripada 65,238 pengundi keluar mengundi di seluruh Parlimen Ketereh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:38 AM