Paya Linda Yahya

Gua Musang: Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan rakyat Kelantan inginkan perubahan termasuk penyelesaian isu yang berbangkit di negeri.

Veteran Umno berkata, rakyat negeri ini sudah semakin bijak menilai pemerintahan Pas yang dilihat masih gagal membangun dan menyelesaikan isu rakyat sejak pemerintahan mereka lebih 30 tahun.

"Dia (Pas) kena insaf bahawa rakyat nak kepada perubahan. Rakyat tak mahu apa yang dicakapkan oleh sesetengah pemimpin Pas boleh makan (minum) air sungai, silalah kalau boleh makan air seperti itu.

"Tetapi rakyat ramai nak jaga kesihatan mereka dan kita ingin melihat keadaan itu berubah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, semalam.

Tengku Razaleigh ketika berucap pada Program Santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Tengku Razaleigh ketika berucap pada Program Santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya

"Pas dapat kuasa pun saya yang tolong apabila ada gandingan tenaga antara Semangat 46 dengan Pas ketika itu, atas nama Angkatan Perpaduan Ummah.

"Pas jangan lupa Tuhan merestui gandingan itu (BN- Pakatan Harapan). Tuhan sudah memberi kemenangan kepada kempen kita dan dia berkuasa sejak dulu sehingga sekarang," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah misi tebus kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

"Saya rasa rakyat kali ini akan menebus balik kekalahan yang dialami pada PRU lalu dan mungkin penebusan itu dapat dibuktikan dengan kemenangan calon-calon kita yang menawarkan diri untuk bertanding dalam PRN kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:44 AM