TENGKU Razaleigh (dua dari kiri) melawat ladang sawit peneroka RKT Kesedar Chalil.
TENGKU Razaleigh (dua dari kiri) melawat ladang sawit peneroka RKT Kesedar Chalil.
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang : Langkah kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal disifatkan usaha bijak bagi membolehkan rakyat menerima manfaat harga yang lebih rendah.

Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat.

“Cadangan ini boleh membantu rakyat kerana penentuan harga runcit bahan bakar tidak perlu lagi bergantung kepada rasionalisasi harga mahupun penurunan subsidi untuk membolehkan seluruh rakyat merasainya.

“Harga minyak mentah dunia yang jatuh ke paras rendah sekitar AS$80 (RM268.40) satu tong membolehkan rakyat menikmati harga yang lebih rendah.

“Langkah diambil ini wajar dan pemansuhan subsidi membolehkan kerajaan merangka gerak ekonomi negara yang lebih teratur untuk menghadapi masalah ekonomi dunia yang semakin merudum,” katanya pada Majlis Perjumpaan Dengan Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini, petang kelmarin.

Terdahulu, beliau melawat kawasan ladang peneroka RKT Kesedar Paloh 2 dan Chalil yang terbabit dengan program tanam semula dan sesi soal jawab dengan peneroka.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi bahan bakar dan menetapkan harga runcit petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ekonomi dunia dijangka terus merudum dan tidak mustahil Malaysia bakal menerima tempiasnya termasuk dalam perdagangan dua hala.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya lebih berwaspada dalam berbelanja dan berjimat-cermat bagi mengelak berdepan masalah tekanan dalam kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:08 AM