AHLI Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Arkib NSTP
AHLI Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Arkib NSTP
Ramli Ibrahim


KEKECOHAN berikutan sebahagian daripada 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar di Gua Musang menuntut untuk mendapat semula ladang sawit ditanam semula, akan diselesai secara baik.

Ini bagi mengelakkan timbul salah faham antara pihak pengurusan Kesedar dengan peneroka hingga ada antara mereka sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan hidup.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, peneroka mungkin merasai bantuan sara hidup RM1,000 sebulan diberikan agensi itu tidak mencukupi.

Beliau berkata, berikutan itu, peneroka mula bertindak supaya ladang kelapa sawit mereka yang sudah mengeluarkan hasil sejak lebih dua tahun lalu diserah semula.

"Masalah timbul kepada peneroka Kesedar kerana mereka tidak cukup belanja dan pergantungan selama ini kepada hasil ladang.

"Apabila tekanan hidup mulai dirasai mereka, berlaku sedikit kekecohan dengan pihak pengurusan Kesedar dan saya cuba selesaikan.

"Perkara ini selalu dalam hati saya kerana dia (peneroka) macam anak buah saya sendiri, baik peneroka Kesedar atau Felda di Gua Musang ini," katanya kepada pemberita di Bukit Chekati, Gua Musang, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakkan perjumpaan dengan ketua dan wakil peneroka daripada semua RKT Kesedar bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Lebih seminggu lalu, peneroka RKT Kesedar itu mengadakan perhimpunan di RKT Paloh bagi menuntut ladang kelapa sawit mereka diserah semula.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang mengakui dukacita dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi ada saluran terbaik untuk menyelesaikan masalah secara musyawarah.

"Hari ini, saya berjumpa dengan peneroka untuk mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian.

"Saya akan memanggil pegawai Kesedar untuk mendengar dan meneliti cadangan mereka bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:11 PM