ABDUL Hadi ketika sidang media di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut. FOTO Eizairi Shamsudin
ABDUL Hadi ketika sidang media di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut. FOTO Eizairi Shamsudin
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Pas yakin Perikatan Nasional (PN) akan dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia berdasarkan kepada keputusan undian awal ketika ini.

"Pas yakin PN akan dapat membentuk kerajaan dalam pilihan raya kali ini.

"Ia adalah berdasarkan kepada keputusan undian awal," katanya selepas sidang media khas Pas di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, kemenangan yang dicapai dalam PRU-15 ini adalah hasil kerjasama semua ahli Pas dan rakan-rakan dalam PN.

Beliau berkata, Pas akan berusaha sedaya mungkin melaksanakan tawaran yang telah dijanjikan dan meneruskan agenda wawasan induk negara sejahtera 2051 (WINS2051).

"Pas mengucapkan terima kasih kepada semua kerana meletakkan kepercayaan kepada kami dan PN terutamanya pengundi muda.

"Pengorbanan pengundi adalah sangat dihargai dalam memastikan PN terus mendapat mandat," katanya.

Ketika ditanya adakah Pas bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah selepas kemenangan ini, Abdul Hadi berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Beliau berkata, ketika ini tidak sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana faktor cuaca dan kemungkinan berlakunya banjir.

"PRN akan dibincangkan kemudian. Ketika ini tidak sesuai kerana faktor cuaca," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:44 PM