TENGKU Razaleigh (tengah) mempengerusikan mesyuarat bulanan Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati, di sini, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
TENGKU Razaleigh (tengah) mempengerusikan mesyuarat bulanan Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati, di sini, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penantian lebih 10 tahun bagi 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar untuk mendapatkan lot ladang sawit diusahakan sendiri bakal selesai dalam masa terdekat ini.

Ini berikutan persetujuan bersama daripada pengurusan Kesedar dan peneroka RKT bagi menyelesaikan perkara itu yang bermula RKT Chalil esok.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beberapa perbincangan berhubung perkara itu dilakukan untuk selaraskan penyelesaian.

Katanya, ini termasuk perbincangan pengagihan lot ladang kepada peneroka di lapan lagi RKT Kesedar dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, tempoh percubaan bagi pengagihan lot ladang itu dalam tiga bulan dan jika ada mereka yang tidak mampu mengusahakannya boleh serah semula kepada Kesedar.

"Saya sendiri akan menetapkan tarikh untuk berjumpa dengan pengurusan Kesedar dan peneroka bagi bincangkan perkara itu supaya tidak lagi timbul kekeliruan.

"Apabila masalah itu selesai, sekali gus peneroka yang selama ini menerima bantuan sara hidup RM1,000 tidak layak lagi menerimanya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Bulan Umno bahagian di Bukit Chekati, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu peneroka RKT Kesedar menuntut ladang sawit untuk diusahakan sendiri.

Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian menegur pegawai Kesedar yang tidak turun padang menemui peneroka bagi membincangkan perkara berbangkit.

Katanya, peneroka tidak mempunyai saluran bagi membangkit masalah yang mereka hadapi khususnya soal pendapatan mereka daripada ladang sawit.

"Pegawai didakwa tidak turun ke bawah untuk melayan kehendak orang (peneroka) yang terkilan dengan perkara berbangkit itu.

"Jadi kalaulah mereka turun, senantiasa mendengar masalah yang dibangkit itu mungkin boleh selesai dengan cepat khusus soal pembahagian lot ladang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 12:56 PM