AMRAN (kiri) menerangkan sesuatu kepada peneroka RKT KESEDAR. FOTO Ramli Ibrahim
AMRAN (kiri) menerangkan sesuatu kepada peneroka RKT KESEDAR. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Isu tuntutan sebahagian 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR semakin panas ketika segelintir 10 peneroka bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin, di Depan Astaka Paloh 2, semalam.

Pelbagai desakan dan kata-kata tidak sedap didengar hingga suasana menjadi panas sebelum wakil rakyat terbabit beredar dari situ.

Amran dalam kenyataan media berkata, pihaknya memahami keadaan mendesak peneroka buat tuntutan itu kerana wang sara hidup RM1,000 tidak mencukupi perbelanjaan.

"Kita harap menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) campur tangan segera bagi menyelesaikan tuntutan peneroka RKT KESEDAR itu.

"Jika masih gagal menyelesaikan tuntutan itu akan menimbulkan banyak lagi pertengkaran antara peneroka dengan pemimpin tempatan dan pengurusan KESEDAR," katanya di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Peneroka KESEDAR bagi membincangkan perkara itu.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi jawatankuasa terbabit, Napi Nasir dan wakil ketua peneroka daripada sembilan RKT KESEDAR.

Katanya, setiap peneroka KESEDAR itu tuntut milik tanah ladang empat hektar seorang dan tanah ladang juga dibuka sejak penubuhan agensi itu 1978.

Beliau berkata, hasil perbincangan dengan jawatankuasa itu juga menetapkan penyelesaian muktamad milik ladang tahun depan.

"Kita harap KESEDAR mengambil tanggungjawab itu supaya tidak timbul kemelut pertengkaran berterusan peneroka terhadap pemimpin dan pengurusan agensi itu.

"Pertimbangan wang sara hidup juga perlu diambil kira dan diminta dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200 sebulan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Selesai kekecohan, tuntutan peneroka Kesedar - Ku Li
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 11:09 AM