Muhammad Yusri Muzamir


Nibong Tebal: Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH berkata, ia berikutan sentimen penerimaan rakyat kepada PH-BN ketika ini semakin meningkat, berbanding tahun lalu.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, orang ramai juga sudah bijak dan mampu menilai kesahihan berhubung fitnah membabitkan ancaman terhadap Islam yang sering dimainkan Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

"Dulu dia (rakyat) dengar semua yang negatif, 'Anwar akan tarik balik hak Islam' dan (sentimen) ini dijadikan fitnah hingga menjadi budaya serta orang percaya.

"Sebahagiannya sudah tengok (dakwaan berkaitan Islam tergugat) tak jadi. Pelajar tidak pakai skirt pun sekarang. Jadi saya ingat itu mengubah (penerimaan orang ramai).

"Ada orang yang dulunya kata baik dengan PH tetapi percaya pada tohmahan yang kita akan menjadi alat kepada DAP untuk menentang Islam jadi sekrang terbukti tidak," katanya ketika ditemui selepas beramah mesra bersama masyarakat Sungai Bakap di sini, hari ini.

Beliau mengulas ramalan penganalisis dan pemerhati politik yang mendakwa PH-BN dan PN dapat mengekalkan status quo di setiap negeri ditadbir kedua-dua gabungan berkenaan.

PH-BN sebelum ini, menerajui kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PN pula menguasi kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Turut hadir, Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.

Sementara itu, Anwar menempelak tindakan PN terus menggunakan slogan 'Bersih' sedangkan gabungan itu terpalit dengan pelbagai skandal rasuah membabitkan nilai yang sangat besar.

"Dia (PN) kata 'Bersih' itu tiada sebab. Seperti kita ketahui, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (membabitkan) menantu kepada calon Perdana Menteri mereka pun sudah lari.

"Mana boleh, kalau ada bukti, siasat dan dakwa. Kalau dia rasa tak bersalah, dia pertahankanlah. Lari bukan contoh yang baik.

"Kamu kena jagalah kerana jumlah (kes) yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak. Jadi soal bersih, PN tak boleh guna bersih kerana mereka terlalu terpalit dengan (skandal) rasuah besar," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:34 PM