Muhammad Yusri Muzamir

Georgetown: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN mengakui, komposisi itu dapat direalisasikan menerusi keikhlasan dan restu daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, biarpun tiada wakil gabungan berkenaan yang menganggotai pentadbiran negeri, sejak 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau sudah mengarahkan jentera parti itu untuk membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dan BN di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi.

Enam calon BN yang bertanding pada PRN Pulau Pinang masing-masing di kerusi DUN Penaga, Bertam, Permatang Berangan, Sungai Dua, Sungai Acheh dan Teluk Bahang.

"Sebelum kita capai matlamat ini (menang di Pulau Pinang), saya sudah arahkan Pengerusi BN negeri untuk meminta semua Pengerusi BN di setiap Parlimen, khususnya di kawasan Dun yang kita bertanding, sama ada PH atau BN.

"Saya sudah minta supaya jentera BN memberikan sokongan kepada semua calon. Ini kerana jentera PH di Pulau Pinang sudah memberikan komitmen, mereka juga akan bekerja keras untuk memenangkan enam calon BN di negeri ini.

"Biarpun kerjasama ini tak pernah terjadi sebelum ini, yang penting kombinasi PH-BN adalah petanda Malaysia memberi layanan kepada semua bangsa di negara ini," katanya ketika berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di sini, malam ini.

Turut hadir, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof; Ahli Jawatankuasa Amanah merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Jawatankuasa DAP negeri yang juga Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Mikail Ong
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 12:23 AM