Dr P. Ramasamy
Dr P. Ramasamy
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Georgetown: Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramsamy mengakui pengaruh gelombang hijau masih membayangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melabuhkan tirainya semalam.

Menurutnya, ini kerana gelombang hijau yang didorong kelesuan prestasi UMNO itu masih memberi kesan walaupun selepas sembilan bulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, satu-satunya penyelamat Barisan Nasional (BN) ialah kejayaan parti itu menawan 14 kerusi DUN di Negeri Sembilan, selain tidak menolak kemungkinan calon dari UMNO akan dinamakan sebagai Menteri Besar yang baharu.

"DAP pula mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan bukan Melayu, terutama masyarakat Cina, selain mungkin berdepan prospek malap untuk menyokong parti politik berasaskan Melayu seperti PKR, AMANAH dan UMNO.

"Sukar untuk menentukan sama ada parti berkenaan mempunyai pilihan ketika ini. Kekecewaan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional pasti meningkat pada masa hadapan.

"Agak mustahil bagi Kerajaan Perpaduan menghalang kemerosotan politik yang tidak menyenangkan ini. Ada kemungkinan kerajaan perlu mengambil sikap politik untuk menenangkan golongan konservatif di Perikatan Nasional ," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

PRN kali ini, menyaksikan enam negeri kekal status quo dengan PH-BN berjaya menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PN mengekalkan mandatnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

PH-BN berjaya menawan 31 daripada 36 DUN di Negeri Sembilan, manakala 29 daripada 40 DUN di Pulau Pinang serta 34 daripada 56 kerusi di Selangor. PN pula menguasai 33 DUN di Terengganu, diikuti 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah serta 43 daripada 46 kerusi di Kelantan.

Sementara itu, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mengakui PN adalah gabungan politik yang berjaya meraih kemenangan besar pada PRN, biarpun gagal menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Perkembangan itu katanya, diukur menerusi prestasi sokongan pengundi kepada calon PN adalah antara 15 hingga 30 peratus, selain prestasi PAS dilihat agak ketara di utara dan pantai timur Semenanjung manakala BERSATU berjaya mengambil alih beberapa kerusi di Selangor serta Negeri Sembilan.

"PN juga berjaya menawan kubu kuat PH di Permatang Pauh apabila 'menyapu' bersih ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

"Satu-satunya prestasi memberangsangkan PH dan Barisan Nasional (BN) hanyalah di Negeri Sembilan yang berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di negeri berkenaan.

"Biarpun gabungan berkenaan turut mengekalkan majoriti dua pertiga di Pulau Pinang, namun bilangan kerusi dimenangi mereka adalah berkurangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 1:25 PM