Hishamuddin mengadakan sidang media selepas menyerahkan penyataan tambahan dan surat mohon status semasa laporan polis dibawah Seksyen 112 dan Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah bagi mangsa penipuan syarikat pelaburan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Menara 238, Jalan Tun Razak. FOTO AIZUDDIN SAAD
Hishamuddin mengadakan sidang media selepas menyerahkan penyataan tambahan dan surat mohon status semasa laporan polis dibawah Seksyen 112 dan Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah bagi mangsa penipuan syarikat pelaburan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Menara 238, Jalan Tun Razak. FOTO AIZUDDIN SAAD
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mangsa penipuan pembelian saham yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pelaburan menghantar maklumat tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas syarikat berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, maklumat tambahan itu dihantar selepas 120 hari laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung penipuan terbabit.

Menurutnya, penyerahan maklumat tambahan itu diharap dapat digunakan PDRM dalam melakukan siasatan itu mengikut seksyen Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Pihak kita sudah meminta polis untuk memberikan perkembangan lanjut terhadap aduan yang dibuat tetapi mereka klasifikasi kes berkenaan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau 'Refer to Other Agency' (ROA).

"Mangsa-mangsa ini tidak berpuas hati, mengapa kertas siasatan itu diklasifikasi sebagai ROA sedangkan cukup jelas mereka ditipu oleh syarikat pelaburan berkenaan.

"Justeru, hari ini, kita hadir sekali lagi memberikan maklumat tambahan berkaitan syarikat-syarikat yang sudah menipu ini bagi siasatan dibawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 415 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, 500 laporan berserta penyata tambahan daripada mangsa-mangsa diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi siasatan lanjut.

Penyerahan laporan berkenaan diserahkan kepada wakil JSJK Asisten Komisioner Ahmad Azizul Mohamed.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, siasatan juga sudah dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebaik laporan polis dibuat.

"Bila pihak kita (MHO) hantar pula aduan di sana, siasatan sudah dimulakan mereka dengan memanggil pengadu-pengadu terbabit, namun ada juga mangsa yang mengeluh kerana mereka tidak dipanggil.

"Kita tiada pilihan, dengan siapa lagi kami mahu harapkan. Kita tidak ada kuasa menyiasat. Jadi, tolong lakukan sesuatu. Jika semua tiada kuasa menyiasat, siapa yang ada kuasa?," katanya.

Sementara itu, mangsa pelaburan, Fazlifah Awang, 48, menggesa pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera terhadap syarikat berkenaan.

"Kami sudah membuat laporan polis pada Mac lalu dan ia sudah dirujuk kepada SC dan SSM untuk tindakan lanjut. Kita sebagai mangsa tidak mengetahui mengapa kes kami dirujuk ke sana," katanya.

Fazlifah yang juga kontraktor berkata, mereka sudah menghantar surat peguam kepada syarikat pelaburan berkenaan namun syarikat terbabit kerap menukar peguam sehingga menyebabkan proses yang sama perlu dibuat berulang kali.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 1:48 PM