Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kira-kira 200 mangsa penipuan skim pelaburan yang kecewa selepas tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas syarikat pelaburan, sekali lagi tampil ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendesak supaya siasatan dilakukan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan dijalankan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Pemandu e-hailing, Osman Asri, 57, mendakwa mengalami kerugian RM20,000 selepas melabur ke dalam sebuah syarikat pelaburan yang diperkenalkan oleh rakannya pada 2021.

Menurutnya, rakan yang juga ejen syarikat pelaburan itu meyakinkan dia mengenai pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik.

"Ketika itu saya baru dapat wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saya melabur sebahagian daripadanya untuk menambah pendapatan bulanan.

"Saya sempat menerima pulangan keuntungan sebanyak RM500 setiap bulan selama setahun. Selepas kontrak pelaburan tamat, saya minta untuk tebus semula dan tidak mahu menyambung kontrak.

"Syarikat dakwa dah tebus semula pelaburan saya tetapi mereka tak pulangkan duit pelaburan itu sehingga kini. Apabila hubungi syarikat, pelbagai alasan diberikan termasuk meminta saya bersabar," katanya ketika ditemui pemberita di Menara SSM di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan anak yang juga atlet negara kerugian RM150,000 selepas terpedaya dengan ejen syarikat pelaburan berkenaan.

Lelaki berusia 50-an itu mendakwa didatangi ejen syarikat itu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah institusi perbankan dan menawarkan pelaburan yang memberi keuntungan antara tiga hingga empat peratus sebulan.

"Saya sangka pelaburan itu di institusi perbankan berkenaan tetapi sebenarnya di syarikat pelaburan luar. Tapi disebabkan sudah tandatangan perjanjian jadi saya teruskan dan sempat menerima pulangan selama tiga bulan.

"Selepas itu, saya tidak lagi menerima pulangan daripada pelaburan sehingga kini dan terpaksa menanggung kerugian," katanya yang berharap SSM menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa pernah dibawa membuat aduan di SSM pada Mac lalu dan hadir semula kali ini bagi menyerahkan penyataan tambahan mengenai penipuan dilakukan syarikat pelaburan itu.

"Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh SSM sama ada syarikat pelaburan terbabit berdaftar di bawah Akta 778 atau sebaliknya.

"Berdasarkan maklumat, syarikat terbabit tidak berdaftar di bawah akta itu yang bermakna mereka menjalankan skim pelaburan secara haram.

"Saya difahamkan terdapat kira-kira 220 syarikat yang menawarkan skim pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik dan menggunakan 'deposit information memo' untuk memperdaya pelabur," katanya.

Beliau yakin SSM adalah agensi yang bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan kerana pelaburan mereka tidak sah.

Hishamuddin turut merayu kepada SSM mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status skim pelaburan itu bersama senarai syarikat yang masih mempromosikan skim pelaburan haram bagi mencegah lebih ramai menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 4:59 PM