Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebuah koperasi dikesan berselindung di sebalik konsep patuh syariah bagi mencari mangsa yang dijadikan sebagai ahli sebelum ditawar melabur dalam pelbagai pakej pelaburan.

Itu taktik digunakan sebuah koperasi yang beroperasi di Kota Bahru, Kelantan yang menjerat ramai mangsa terdiri pesara dan petugas kerajaan.

Ini termasuk 26 mangsa yang tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) dengan mendakwa kerugian RM2.8 juta.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi pihak pengurusan koperasi itu adalah mencari pihak yang berminat untuk menjadi ahli koperasi dan mahu mendapatkan pendapatan sampingan.

"Pelbagai bentuk pelaburan ditawarkankepada mangsa menggunakan nama dan syarikat sendirian berhad walhal kegiatan ini dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi itu.

"Syarikat sendirian berhad itu adalah pelaksana 10 jenis skim pelaburan yang ditawarkan bagi mengaburkan mata dan mengelirukan mangsa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya mendapati, pelabur mendakwa tidak pernah melihat atau dikemukan rekod dan produk pelaburan ditawarkan koperasi itu.

"Pakej pelaburan ditawarkan syarikat itu juga adalah satu janji yang tidak munasabah apabila mangsa didakwa tidak menerima bayaran dividen dijanjikan.

"Perbuatan ini adalah tidak adil dan melampau kerana ada di antara mangsa menggunakan wang simpanan mereka untuk melabur dengan koperasi ini, namun menjadi mangsa penipuan," katanya.

SETIAUSAHA Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim bersama beberapa mangsa penipuan pelaburan sebuah koperasi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
SETIAUSAHA Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim bersama beberapa mangsa penipuan pelaburan sebuah koperasi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Hishamuddin menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi terbabit supaya menjalankan siasatan ke atas koperasi serta syarikat berkenaan yang sewenangnya menggunakan wang pelaburan daripada mangsa.

"Ramai mangsa mendakwa laporan polis dibuat diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk agensi lain (ROA) oleh pegawai penyiasat.

"Mereka ini (pegawai penyiasat) memberi alasan tindakan itu (NFA dan ROA) kerana mangsa mempunyai perjanjian serta menerima sebahagian dividen mereka.

"Ia adalah tidak adil kepada mangsa kerana kita dapati kes ini jelas mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 5:16 PM