Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis Pulau Pinang mengesahkan isu kalimah Allah yang disentuh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah kempen politik Ahad lalu kini sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Jurucakap Media Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W Puspanathan berkata ia susulan satu laporan polis yang dibuat Isnin lalu.

"Pengadu merasakan kenyataan itu menyentuh isu 3R (Agama, Bangsa, Raja) dan tidak sepatutnya dikeluarkan bekas Perdana Menteri.

"Kes ini disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Puspanathan berkata, secara keseluruhan pihaknya menerima lapan laporan berkaitan proses kempen PRN dengan enam daripadanya membabitkan kesalahan merosakkan bendera dan kain rentang parti.

Beliau berkata satu lagi kes adalah berkaitan fitnah calon bebas menerusi platform TikTok dan disiasat di bawah Seksyen 233 AKM 1998 iaitu membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

"Setakat ini belum ada tangkapan dan bagi enam kes khianat merosakkan bendera dan kain rentang itu empat daripadanya dilapor berlaku di Seberang Perai Tengah dan masing-masing satu di Seberang Perai Utara dan Barat Daya," katanya.

Puspanathan berkata, bagi tempoh 29 Julai sehingga semalam pihak berkuasa melalui Ketua-ketua Polis Daerah meluluskan 518 permit ceramah tanpa ada permohonan yang ditolak.

W Puspanathan pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong.
W Puspanathan pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 2:55 PM