Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, yang disifatkan melanggar 'garisan merah' membabitkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja.

Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata setakat ini, pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R sedang melengkapkan kertas siasatan bagi diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai keputusan peguam negara dari segi pendakwaan kerana jabatan itu akan meneliti asas siasatan polis sebelum kemukakan keputusan untuk mendakwa.

"Bagi pihak pasukan polis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sudah maklum kepada saya berdasarkan aduan menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dalam tempoh tujuh hari adalah dipanggil disiplin atau tempoh yang mana bahagian ini perlu selesaikan siasatan isu 3R.

"Siasatan itu sedang berjalan dan saya beri kepercayaan penuh kepada polis bagi mengambil tindakan bersesuaian mengikut undang-undang," katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

SAIFUDDIN (tengah) menerima replika cek daripada Pengerusi PBLT Sdn Bhd, Tan Sri Dr. Mazlan Lazim (dua dari kanan). Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain (kiri). FOTO Mikail Ong
SAIFUDDIN (tengah) menerima replika cek daripada Pengerusi PBLT Sdn Bhd, Tan Sri Dr. Mazlan Lazim (dua dari kanan). Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain (kiri). FOTO Mikail Ong

Pada majlis itu, Saifuddin menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf warga PDRM.

Hadir sama ialah Razarudin Pengerusi PBLT Sdn Bhd Tan Sri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Pulau Pinang Datu Khaw Kok Chin.

Saifuddin berkata, setakat ini PDRM menerima sekurang-kurangnya 30 aduan ke atas Mohamad Sanusi dan siasatan sedang dijalankan USJT.

Katanya, biarpun peringatan sudah diberi berulang kali mengenai hal yang dianggap melanggar 'red line' isu 3R namun watak yang menjadi tumpuan ialah MB Kedah.

"Celuparnya terlalu lama, saya dalam politik pun sudah lama tetapi belum pernah jumpa watak macam ini yang luar biasa.

"Barangkali beliau terbawa-bawa, beliau popular, orang Kedah suka dan membawa pada tahap dia percaya 'he can do wrong' sampai tahap itu.

"Naik pentas politik tidak langsung mempamerkan akhlak seorang Muslim, saya fikir dia perlu tumpukan kepada menguruskan negeri sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:58 AM