GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis menerima satu laporan berhubung perbuatan khianat terhadap bendera dan markas Pas pada hari keenam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu itu, semalam.

Beliau berkata, laporan itu dibuat pengadu selepas mendapati bendera Pas yang dipasang di Perumahan Kampung Cina disembur cat, manakala markas di situ dirosakkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Sebanyak 68 permohonan ceramah diluluskan terdiri daripada 21 Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (43), Pakatan Harapan (dua) dan Muda (dua)," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Noor Halim berkata, pemantauan polis semalam juga mendapati sebanyak 62 ceramah dibatalkan bagi menghormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Besar Terengganu, Fatimah@Sharifah Nong Alsagoff Abdillah.

Katanya, polis turut mengulangi nasihat kepada semua calon dan penyokong parti yang bertanding terus melakukan aktiviti berkempen secara berhemah dan sopan, supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:48 AM