GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis menerima satu laporan berhubung satu video berbaur fitnah terhadap parti Pas pada hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Paka itu diterima pihaknya semalam.

Beliau berkata, laporan itu dibuat seorang pengadu yang tidak berpuas hati terhadap satu video berbaur fitnah terhadap Pas dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Pada hari kedua tempoh berkenaan diadakan, polis mendapati sebanyak 30 aktiviti ceramah diadakan seluruh Terengganu dengan kesemuanya mendapat kelulusan.

"Daripada jumlah itu, 24 kempen diadakan oleh Perikatan Nasional (PN) manakala enam lagi kempen daripada BN," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Noor Halim berkata, pihak calon dan parti-parti bertanding boleh membuat permohonan permit untuk mengadakan ceramah melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di kawasan yang ditandingi masing-masing dan semua pihak perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan apabila kelulusan diberikan.

Beliau turut menasihatkan semua pihak untuk mengadakan kempen secara sopan dan berhemah bagi mengelak perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:25 PM