Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis mengenal pasti sebanyak 59 kawasan 'panas' bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia membabitkan 13 kawasan di Kuala Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Kemaman (sembilan), Hulu Terengganu (lapan), Besut (empat) dan Marang (empat).

Beliau berkata, kebanyakan isu yang timbul di kawasan itu adalah membabitkan perkara kecil dan boleh dikurangkan atau dipastikan tidak akan timbul bagi memastikan PRN berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Isu-isu kecil seperti merosakkan bendera, cuba untuk mengawal kawasan supaya tidak dibenarkan pihak yang lain memacak bendera dan mencabut bendera, itu tiga isu yang amat kecil.

"Saya sudah beri arahan kepada Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan untuk memanggil semua yang akan terbabit dengan pilihan raya ini untuk memastikan tidak ada isu-isu kecil yang ditimbulkan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berkaitan PRN Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, seramai 4,468 pegawai dan anggota akan ditugaskan di seluruh negeri itu untuk memastikan kelancaran PRN.

Beliau berkata, kekuatan keanggotaan itu termasuk bantuan dari negeri berhampiran yang akan digerakkan sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan dijalankan PRN secara serentak pada 12 Ogos ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 1:58 PM