BENDERA parti politik mula dipasang menjelang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Jalan Batas Baru. FOTO Ghazali Kori
BENDERA parti politik mula dipasang menjelang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Jalan Batas Baru. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu menolak empat permohonan ceramah pada hari ketiga kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tidak menepati syarat.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, ia membabitkan tiga daripada Perikatan Nasional (PN) manakala satu daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, empat permohonan itu antara 57 permohonan ceramah yang diterima setakat semalam.

"Sehingga kini, polis belum menerima sebarang insiden-insiden yang menarik sepanjang tempoh berkempen dijalankan.

"Sehubungan itu, semua pihak diharapkan dapat meneruskan kempen secara berhemah tanpa menimbulkan sebarang bentuk kekacauan dan provokasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Halim berkata, pemerhatian polis mendapati kebanyakan kempen calon dan parti bertanding masih pada tahap sederhana seperti mengadakan ceramah serta melawat tempat tumpuan orang ramai.

Katanya, kempen seperti ini perlu mendapatkan permit daripada polis dan sehingga kini, sebanyak 10 permohonan kempen secara 'walkabout' dan satu permohonan kempen melalui kenderaan bergerak daripada parti Barisan Nasional (BN) dengan kesemuanya diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 12:35 PM