POSTER calon yang dibakar. FOTO ihsan pembaca
POSTER calon yang dibakar. FOTO ihsan pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Satu lagi laporan polis diterima berhubung perbuatan khianat terhadap poster calon yang dibakar pada hari ketujuh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Merchang itu diterima pihaknya semalam.

Beliau berkata, ia dibuat selepas mendapati poster calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dibakar.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noor Halim berkata, polis turut meluluskan 75 permohonan ceramah terdiri daripada 47 daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (25) dan MUDA (tiga).

Beliau berkata, polis sentiasa membuat pemantauan aktiviti-aktiviti berkempen bagi calon dan parti-parti yang bertanding di seluruh kawasan DUN Terengganu dan sehingga kini, tiada insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Polis sentiasa bersedia dan akan menggerakkan elemen-elemen mengikut keperluan situasi danberharap semua pihak khususnya calon dan jentera parti-parti yang bertanding terus mengekalkan tahap pematuhan berkempen yang tinggi dan tidak menimbulkan perkara yang boleh melanggar peraturan dan undang-undang negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:49 PM