KENDERAAN dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
KENDERAAN dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERJALANAN pulang perunding teknologi maklumat (IT) ke rumahnya di Johor Bahru tidak kesampaian apabila meninggal dunia dalam keretanya di Hentian Rehat dan Rawat Nilai, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Nilai , semalam.

Pada kejadian 8.40 pagi itu, mangsa, Lawrence Liew Chee Wei, 40, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di sisi teman wanitanya yang berusia 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mereka berada di Cyberjaya atas urusan peribadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Johor Bahru.

“Ketika sedang memandu, Lawrence mengadu sakit dada sebelum memberhentikan keretanya di tepi jalan di hentian itu. Tidak lama kemudian mangsa tidak sedarkan diri,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, teman wanita mangsa yang juga seorang akauntan menghubungi talian kecemasan sebelum ambulans dan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dihantar ke lokasi.

“Sebaik anggota tiba, lelaki itu didapati sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan wanita itu teman lelakinya mempunyai penyakit jantung.

“Laporan bedah siasat dikeluarkan petang semalam menunjukkan punca kematian disebabkan ‘Coronary Artery Occlusion’ atau saluran darah dalam jantung tersumbat. Mayat diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya.

Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

#kw sdr, matu dalam kereta, PLUS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 5:13 PM