NUR AMIRAH  (kanan) dan Nur Wahidah bersama bayi mereka yang dilahirkan pada tarikh 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan di Hospital Tuanku Jaafar. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
NUR AMIRAH (kanan) dan Nur Wahidah bersama bayi mereka yang dilahirkan pada tarikh 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan di Hospital Tuanku Jaafar. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


"SAYA dan suami sering bercakap mahu bayi kami lahir pada Hari Kemerdekaan dan tidak menyangka Allah SWT mengabulkan impian kami," kata Nur Amirah Meslan, yang melahirkan bayi lelaki di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, pada 3.38 pagi hari ini.

Suri rumah berusia 26 tahun dari Pedas, Rembau itu berkata, sebelum ini doktor memaklumkan bayinya dijangka lahir pada 16 September, namun amat berharap dapat melahirkan bayi itu pada 31 Ogos.

Menurutnya, dia mula mendapat tanda untuk bersalin pada 29 Ogos lalu dan terus merujuk kepada HTJ.

"Selama dua hari duduk di wad dan Alhamdulillah pada tengah malam tadi kesakitan itu mula meningkat.

"Saya bersalin secara normal dan gembira kerana dapat melahirkan bayi merdeka seberat 3.3 kilogram yang juga anak ketiga saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, bayi pertama sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2020 di HTJ dilahirkan S Kavita, 25, dari Nilai pada 1.03 pagi.

Suri rumah itu berkata, dia tidak menyangka dapat melahirkan anaknya pada Hari Kemerdekaan kerana doktor sebelum ini memaklumkan tarikh dia dijangka bersalin adalah pada 5 Oktober depan.

"Sebenarnya saya tidak menyangka akan melahirkan anak ketiga ini pada Hari Kemerdekaan.

"Saya pernah mengharap untuk dapat bayi merdeka ketika melahirkan anak kedua namun tidak kesampaian.

"Semasa keluar dari bilik bersalin, semua ucap tahniah kepada saya. Saya gembira kerana akhirnya dapat melahirkan bayi pada Hari Kemerdekaan," katanya.

Turut berpeluang mendapat bayi sempena Hari Kemerdekaan tahun ini ialah Nurul Wahida Manaf, 29, dari Klang, Selangor.

Jururawat itu melahirkan bayi lelaki seberat 2.96 kilogram pada 10 malam di HTJ.

Dia yang pulang ke rumah keluarga mentuanya di Seremban bersyukur kerana proses melahirkan anak ketiganya itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Walaupun masa melahirkan bayi ini bukan pada detik 12 malam 31 Ogos, tetapi suasana menyambut kemerdekaan negara ke-63 itu sudah dirasakan sejak petang semalam lagi.

"Saya gembira, bersyukur dan sudah tentu akan menjadi detik bersejarah dalam keluarga kami kerana bayi ini lahir pada malam sambutan Hari Kemerdekaan negara," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jururawat Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HTJ, Roslinda Ab Rahim berkata, seramai tujuh bayi dilahirkan di HTJ sempena sambutan Hari

Kemerdekaan negara ke-63, setakat 10 pagi hari ini.

Beliau berkata, HTJ menerima kelahiran enam bayi lelaki dan seorang bayi perempuan dengan bayi pertama dilahirkan pada 1.03 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 4:11 PM