Osman Salleh
Osman Salleh
BERNAMA

Seremban: Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh, 65, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, pada 12.51 tengah hari, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Dr Mohd Hafiz Osman menerusi laman Facebooknya, sebentar tadi.

"Innalillahi wainna ilaihirojiun, dukacita dimaklumkan ayahanda saya, Osman Salleh telah menghembuskan nafasnya terakhir pada 12.51 tengah hari tadi di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

"Mohon sama-sama doakan Allah memberi keampunan dan rahmat kepada arwah abah saya," menurut catatan berkenaan.

Difahamkan Allahyarham yang pernah menjawat jawatan Ketua Polis Negeri Sembilan itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah susulan Covid-19 selepas enam hari dimasukkan ke HTJ.

Menurut Mohd Hafiz, jenazah Allahyarham yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (Respa) Negeri Sembilan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Ainsdale, Labu di sini, pada 5 petang hari ini.

Allahyarham pernah berkhidmat selama tujuh tahun di Negeri Sembilan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Perak ke-27 pada 16 Disember 2014 dan bersara wajib pada 13 Februari 2016.

Allahyarham yang berasal dari Seremban, mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 40 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:50 PM