NEOH Ho Soon. FOTO Izz Laily Hussein
NEOH Ho Soon. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: "Duduk Malaysia tapi tak tahu cakap Bahasa Melayu, saya malu," kata warga emas, Neoh Ho Soon.

Lelaki berusia 72 tahun itu secara sukarela mengikuti kelas Bahasa Melayu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang Andrew Chen Kah Eng, bagi menguasai kembali Bahasa Kebangsaan itu.

Mengakui kurang bergaul dengan masyarakat Melayu menyebabkan dia sudah lupa selain semakin tidak fasih untuk berkomunikasi dalam bahasa berkenaan.

"Dulu masa belajar, memang kita ada belajar dan cakap Melayu. Tetapi, sudah lama, apabila saya sudah lama tidak guna bahasa itu, saya sudah lupa.

"Saya juga ramai kawan Cina sahaja, tetapi apabila hendak berurusan di pejabat kerajaan atau hendak berbual dengan orang selain orang Cina, memang susahlah, saya tidak faham," katanya.

Ho Soon terbuka hati untuk mengikuti kelas Bahasa Melayu walaupun tinggal di Taman Ungku Tun Aminah (Tuta), Skudai, kira-kira 18 kilometer (km) daripada lokasi kelas itu yang diadakan di Taman Seri Tebrau di sini.

Dia berkata, selepas lebih sebulan mengikuti kelas berkenaan, dia sudah dapat mengingati banyak perkataan dalam Bahasa Melayu dan sudah boleh berkomunikasi dengan lebih yakin.

Mengakui Ho Soon seorang yang cepat belajar, guru yang mengajar kelas berkenaan, Sek Choon Chiang berkata, memang ada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai asas berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Guru Bahasa Melayu yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengajar Bahasa Kebangsaan itu di sekolah swasta berkata, dia gembira apabila Kah Eng (Adun Stulang) tampil menganjurkan kelas berkenaan.

"Saya suka mengajar, apatah lagi apabila diberitahu anak murid saya kali ini terdiri daripada warga emas yang bersemangat dan berminat untuk belajar Bahasa Melayu, maka saya lebih mudah untuk mengajar.

"Memang ada cabarannya apabila mengajar kelas ini kerana ada antara mereka yang langsung tidak tahu asas Bahasa Melayu, tetapi mereka bersemangat untuk belajar.

"Tetapi, ada juga yang berhenti kerana rasakan Bahasa Melayu ini susah. Saya turut kagum apabila seorang warga emas wanita warga Taiwan yang berkahwin dengan rakyat Malaysia, turut menyertai kelas ini dan kini dia juga sudah mampu mengetahui pelbagai perkataan dalam Bahasa Melayu," katanya.

Kelas Bahasa Melayu yang diadakan sehari setiap minggu itu disertai 12 warga emas di kawasan sekitar dalam setiap sesi yang dijalankan kira-kira dua jam.

Mengulas lanjut, Kah Eng berkata, inisiatif menganjurkan kelas berkenaan dibuat pihaknya sejak Jun lalu yang mana objektifnya adalah bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan warga emas supaya mereka lebih yakin apabila berkomunikasi.

"Kita mahu mereka lebih yakin dan boleh berkomunikasi dengan lebih baik, sekali gus dapat mengurangkan juga sebarang salah faham terutamanya apabila berurusan di pejabat-pejabat kerajaan," katanya.

Beliau berkata, menguasai Bahasa Melayu juga dapat mendedahkan kepada budaya masyarakat Melayu yang mana boleh melahirkan rasa hormat-menghormati sesama kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 4:50 PM