Athalia dan ibunya, penyanyi Sharifah Zarina. FOTO Instagram Athalia
Athalia dan ibunya, penyanyi Sharifah Zarina. FOTO Instagram Athalia
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi, Athalia Buswani, 20, mengakui terasa hati dengan komen segelintir netizen di media sosial yang mengaitkan ibunya yang juga penyanyi, Sharifah Zarina, 42, dikatakan tidak tahu menjaga anak.

Athalia atau nama sebenarnya, Athalia Deena Buswani berkata, dia memang sudah biasa menerima komen-komen mengecam, tetapi apabila ibunya juga terkena tempias ia amat melukakan perasaannya sebagai anak.

"Saya dah biasa dan lali dengan komen seperti itu. Kadang-kadang terasa (hati) juga apabila orang cakap pasal mama saya. Cakap mama tak pandai didik anak, mama saya itu dan ini.

"Mujurlah mama okay dan dia kata tak kisah sebab dah biasa (dengan komen kecaman). Jadi, bila mama okay, saya pun okay. Tapi, kalau mama tak okay, saya tak okay juga. Cuma, mama boleh saja 'delete' (buang) hantaran dibuat itu di akaun media sosialnya.

"Hubungan saya dan mama sangat rapat. Malah, mama sebenarnya sentiasa pantau kegiatan dan apa saja aktiviti saya dalam karier seni ini walaupun dia tidak selalu ada bersama saya setiap masa," katanya kepada Harian Metro.

Athalia yang baru muncul dengan single solo, We Go Up berkata, dia juga menjadikan ibunya sebagai guru vokal di rumah.

Katanya, belajar vokal dengan ibu sebenarnya lagi mencabar.

"Mama kalau dia rasa saya nyanyi tak betul, terus kena jerit saja. Mama memang tegas, serius dan komited kalau dia mengajar vokal. Tapi, saya juga ada masa mengikuti kelas vokal daripada guru vokal juga, tengok situasi," katanya.

Ditanya juga dirinya yang lebih fasih bertutur Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu, Athalia berkata, dia sudah terbiasa sejak kanak-kanak dan membudayakan berbertutur Bahasa Inggeris di rumah.

"Saya tak nafikan agak selesa berbahasa Inggeris kerana sudah terbiasa di rumah. Saya dan keluarga memang banyak berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan loghat Sarawak.

"Ibu bapa saya asal dari Sarawak, jadi di rumah memang bertutur dalam loghat Sarawak yang utama berbanding Bahasa Melayu. Selain itu, Bahasa Inggeris, tapi ia tidak bermakna saya tak boleh cakap Bahasa Melayu langsung," katanya.

Athilia sebelum ini pernah berhadapan dengan kontroversi video TikTok yang tular membabitkan dia dengan pelakon dan penyanyi, Alvin Chong pada 2020 ketika berusia 17 tahun.

Sejak itu, gadis yang begitu dikenali di TikTok ini sering menjadi perhatian netizen yang kurang senang dengan video dihasilkan sehingga Athalia boleh dikata sering mendapat kecaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 11:07 AM