Mohamad Hussin


“SAYA nak anak saya pandai membaca dan menghafaz al-Quran sebab itu saya datang belajar bahasa isyarat.

“Pada mulanya memang sukar untuk belajar, tetapi lama-kelamaan sudah pandai dan tidak kekok kerana selalu buat latihan,” kata warga emas, Zaharah Hamdan, 62, yang mengikuti kelas bahasa isyarat untuk orang normal sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, dia mula mengikuti kelas bahasa isyarat sebagai asas untuk berkomunikasi dengan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran sejak dilahirkan.

“Anak saya, Johari Abdul Wahab, 32, tidak berkesempatan untuk belajar al-Quran kerana dia baru saja diterima bekerja di sebuah syarikat minyak. Saya mengambil inisiatif mengikuti kelas ini kerana tidak mahu anak saya terlepas belajar mendalami al-Quran.

“Apabila saya mengetahui Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat (OKU BERDAYA) ada mengadakan kelas bahasa isyarat dan al-Quran untuk orang normal, saya dan suami terus memohon untuk mengikutinya,” katanya di OKU BERDAYA di sini, semalam.

ZAHARAH mengikuti kelas bahasa isyarat untuk memudahkan berkomunikasi dengan anaknya.
ZAHARAH mengikuti kelas bahasa isyarat untuk memudahkan berkomunikasi dengan anaknya.

Muhammad Sirril Asrar, 20, berkata, dia belajar bahasa isyarat kerana mahu mengajar mereka terutama OKU cacat pendengaran belajar mendalami al-Quran.

“Tujuan saya datang bersama-sama ibu dan ayah saya kerana mahu mendalami dengan lebih dekat huruf dalam bahasa isyarat.

“Dalam keluarga kami bukannya ada OKU cacat pendengaran, tetapi niat kami hanya nak membantu mereka di luar sana yang tidak berpeluang belajar al-Quran.

“Setiap peserta akan diberi latihan mengenali huruf sebelum membaca al-Quran. Buat masa ini, kami diberi latihan mengenali abjad dan nombor dalam bahasa isyarat sebelum melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi OKU BERDAYA Syed Mohamad Abdullah berkata, kelas bahasa isyarat dan al-Quran itu diadakan setiap bulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga dari jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari bagi memberi peluang kepada orang normal mendalami bahasa berkenaan.

TENAGA pengajar Akademik Tahfiz Pekak Malaysia, Ustaz Ahmad Rozaimi Mohamed mengajar kelas bahasa dan mengaji isyarat bagi OKU pekak dan normal di Pusat Operasi OKU Berdaya Hulu Langat.
TENAGA pengajar Akademik Tahfiz Pekak Malaysia, Ustaz Ahmad Rozaimi Mohamed mengajar kelas bahasa dan mengaji isyarat bagi OKU pekak dan normal di Pusat Operasi OKU Berdaya Hulu Langat.

Beliau berkata, kelas yang ditubuhkan sejak Januari 2017 itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana diadakan secara percuma selain dapat mendalami al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

“Setakat ini, terdapat lebih 30 peserta yang mengikuti kelas ini. Kita akan mengajar mereka sampai pandai berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan membaca al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 7:31 AM