Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa yang unik, Sek Choon Chiang berusaha keras menguasai bahasa kebangsaan ini sehingga akhirnya berjaya mengabdikan diri sebagai guru Bahasa Melayu sehingga hari ini.

Choon Chiang berkata, membesar dalam persekitaran yang majoritinya masyarakat Melayu membuatkan sejak kecil lagi dia mencintai Bahasa Melayu.

Katanya, setiap suku kata Bahasa Melayu sangat cantik, malah susunan perkataan serta ayatnya amat menarik perhatiannya.

"Saya dan keluarga tinggal di Flat Lumba Kuda di sini dan sejak kecil, saya dikelilingi masyarakat Melayu. Saya lebih banyak bertutur dalam Bahasa Melayu.

"Apabila dewasa, saya sedar ada dalam kalangan masyarakat Tionghoa yang tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan kita.

"Sebab itu, saya tertarik untuk terus mempelajari Bahasa Melayu dan berjanji untuk berkongsi ilmu supaya semua rakyat Malaysia, terutama bangsa selain Melayu dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengajar bahasa kebangsaan itu di sebuah sekolah swasta dekat Stulang Laut di sini, berkata, memang ada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai asas berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Katanya, itu cabarannya apabila perlu mengajar mereka yang tidak tahu asas bahasa itu, namun kerana minatnya yang mendalam, ia bukan halangan.

"Sebenarnya jangan kata Bahasa Melayu ini susah. Orang selalu kata Cintailah Bahasa Kita, jadi jika kita tidak cuba belajar, macam mana kita hendak tahu dan hendak mencintai bahasa itu.

"Dengan Bahasa Melayu ini nanti yang membentuk kepada perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum," katanya yang berkelulusan Diploma Jabatan Pengajian Melayu dari sebuah universiti swasta.

Choon Chiang yang pernah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana perniagaan berkata, walaupun menjadi tenaga pengajar, namun dia juga masih tidak putus berhenti belajar.

Katanya, dia mengikuti seminar atau kursus Bahasa Melayu yang dianjurkan mana-mana pihak bagi membolehkannya terus menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam bahasa itu.

Kongsinya, walaupun bersekolah rendah dan menengah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), namun dia masih tetap mengagungkan Bahasa Melayu, malah khidmatnya untuk menterjemahkan Bahasa Mandarin kepada Bahasa Melayu atau sebaliknya, sering digunakan pihak sekolah.

"Masa sekolah dulu, ada majalah sekolah atau apa-apa perkara pun, jika memerlukan penterjemahan sama ada daripada Bahasa Melayu atau ke Bahasa Melayu, saya orangnya," ceritanya.

Sehingga hari ini, kepakaran Choon Chiang digunakan sebaik mungkin apabila dia dijemput menjadi guru Bahasa Melayu bagi warga emas berketurunan Tionghoa dalam kelas anjuran Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang.

Selain itu, dia turut menjadi guru di pusat tuisyen sekitar bandar raya ini selain menjadi guru peribadi dengan mengajar di rumah pelajar.

"Saya suka mengajar, apatah lagi apabila diberitahu pelajar saya kali ini terdiri daripada warga emas yang bersemangat dan berminat untuk belajar Bahasa Melayu, maka saya lebih mudah untuk mengajar.

"Memang ada cabarannya apabila mengajar kelas ini kerana ada dalam kalangan mereka yang langsung tidak tahu asas Bahasa Melayu, tetapi mereka bersemangat untuk belajar.

"Tetapi, ada juga yang berhenti kerana berasakan Bahasa Melayu ini susah. Saya turut kagum apabila seorang wanita warga emas warga Taiwan yang berkahwin dengan rakyat Malaysia turut menyertai kelas ini dan kini dia juga sudah mampu mengetahui pelbagai perkataan dalam Bahasa Melayu," katanya.

Berkongsi cara mudah mengembangkan minat mempelajari Bahasa Melayu, Choon Chiang berkata, sesiapa yang berminat boleh menggunakan sari kata ketika menonton televisyen.

"Saya juga suka menonton televisyen dengan menggunakan sari kata, supaya saya boleh menambah pengetahuan kepada perkataan baharu yang saya tidak tahu," katanya.

MENGAJAR warga emas yang berminat belajar Bahasa Melayu.
MENGAJAR warga emas yang berminat belajar Bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:02 AM