Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). FOTO BERNAMA
Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu sebanyak 19 transaksi berjumlah RM2.28 bilion dalam dua akaun peribadi bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikesan pasukan petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis petugas khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, yang juga saksi pendakwaan ke-47 berkata, transaksi itu dikesan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 dengan jumlah antara RM11,567.57 hingga RM602 juta.

"Ketika dipinjam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya ditugaskan oleh pegawai penyiasat SPRM, Superintendan Kanan Nur Aida Arifin, untuk membantu dalam mengenal pasti dan mengesan kaitan antara dana dikumpul 1MDB dan wang diterima Najib.

"Wang itu dimasukkan ke dua akaun peribadi Najib di AmIslamic Bank Berhad iaitu AmPrivate Banking - MR dan AmPrivate Banking - 1MY," katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Adam Ariff berkata, analisis terhadap jejak wang dalam dua akaun bank terbabit boleh diasingkan kepada empat fasa termasuk 'Tanore'.

Katanya, RM2.081 bilion dikreitkan ke akaun Najib menerusi AmPrivate Banking – MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp, antara 21 Mac dan 10 April 2013, di mana ia dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited.

"Fasa 'Aabar-BVI' pula antara 30 Oktober dan 20 November 2012 dengan RM90.899 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – MR daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited.

"Fasa 'Good Star' antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta dikreditkan ke akaun bank sama daripada akaun Riyad Bank, Arab Saudi yang dikesan pada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada 2010," katanya.

Saksi itu berkata, fasa 'Options Buyback' pada 23 Jun 2014, membabitkan RM4.093 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – 1MY daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited yang dikesan hasil pinjaman AS$250 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited.

"Antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, RM45.837 juta dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Amicorp Bank , Barbadosatas nama Vista Equity International Partners Limited.

"Sebahagiannya boleh dikesan pada hasil pinjaman AS$975 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:32 PM