Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes  dana 1MDB depan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Jenayah. FOTO ASWADI ALIAS
Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes dana 1MDB depan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Jenayah. FOTO ASWADI ALIAS
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Tanore Finance Corporation (Tanore) memindahkan sejumlah AS$681 juta ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dana itu sebahagian daripada terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) keseluruhannya berjumlah AS$3 bilion yang sepatutnya dilaburkan bagi usaha sama 1MDB dengan Aabar Investment PJS yang dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Bagi kes pendakwaan, Tanore adalah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata, pada hari sama Tanore menerima AS$640 juta iaitu 21 Mac 2013, ia mengarahkan Falcon Bank memindahkan AS$681 juta ke nombor akaun. 211-202-200969-4 di bawah nama 'AmPrivate Banking–MR' di AmIslamic Bank secepat mungkin.

Adam Ariff yang juga saksi pendakwaan ke-47, berkata, susulan itu wang berjumlah AS$620 juta dipindahkan serta-merta pada hari yang sama.

Beliau berkata, pada 22 Mac 2013, AmIslamic menerima arahan daripada Tanore untuk memindahkan AS$620 juta untuk dikreditkan kepada akaun AmPrivate Banking - MR, susulan itu ia mengkreditkan sejumlah RM1.89 bilion ke dalam akaun berkenaan.

Menurut saksi, terdahulu bon itu dimasukkan ke dalam akaun anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Limited (1GIL) dan dana dipindahkan melalui syarikat pelaburan, Devonshire Capital Growth Fund dan Granton Property Holding Ltd kepada Tanore, dan akhirnya AS$620 juta daripada Tanore dimasukkan ke akaun AmPrivate Banking- MR yang berlaku dalam tempoh atau lebih kurang dalam hari sama.

Katanya, pemeriksaan ke atas penyata bank bagi nombor akaun berkenaan yang dikekalkan atas nama 'Perbankan Amprivate-Mr dan/atau Datuk Seri Mohd Najib Razak' yang disediakan oleh AmIslamic, mendedahkan pemindahan kredit antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013.

"1GIL juga melanggan dana pelaburan syarikat Cistenique Investment Fund Enterprise Emerging Market Fund (EEMF) dengan tarikh nilai 21 Mac 2013. Rekod surat menyurat juga menunjukkan bahawa jumlah nilai nominal langganan oleh 1GIL dalam EEMF dan Cistenique masing-masing ialah AS$410 juta dan AS$525 juta.

"Pada atau 22 Mac 2013, EEMF dan Cistenique masing-masing mengirim AS$50 juta dan AS$375 juta kepada Tanore. Penyata bank dan rekod Tanore mengesahkan penerimaan dana pada 25 Mac 2013.

"Pada hari yang sama, Tanore menggunakan dana yang diterima daripada EEMF dan Granton untuk menghantar baki AS$61 juta ke akaun AmPrivate Banking - MR daripada arahan pemindahan USD681 juta.

"Pada 26 Mac 2013, AmIslamic mengkreditkan ke akaun AmPrivate Banking - MR dengan RM188 juta bersamaan AS$60.9 juta seperti yang ditunjukkan dalam penyata bank dan rekodnya," katanya.

Adam Ariff berkata demikian pada perbicaraan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Kes pendakwaan seperti dinyatakan pada pernyataan pembukaan ialah, Najib menandatangani surat sokongan pada 14 Mac 2013 untuk mendapatkan pinjaman melalui terbitan bon oleh 1MDB daripada Bank of New York Mellon Group berjumlah AS$3 bilion.

Pada 19 Mac 2013, sejumlah AS$2.721 bilion dikeluarkan ke dalam akaun 1GIL di BSI Bank di Lugano di Switzerland dan bakinya untuk membayar yuran Goldman Sachs.

Daripada AS$2.721 bilion, sejumlah AS$1.06 bilion dibayar ke dalam akaun dua dana fidusiari, iaitu Devonshire dan EEMF, di mana AS$430 juta daripada Devonshire dipindahkan kepada Granton dan pada hari sama keseluruhan jumlah dipindahkan kepada Tanore.

Dana berjumlah AS$681 juta dioindahkan oleh Tanore ke akaun Najib bersamaan RMRM2,081 bilion membentuk perkara pertuduhan ketiga dalam kes ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 2:37 PM