ANGGOTA penguat kuasa KPDN Putrajaya memeriksa lori tangki di sebuah stor haram di Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Ihsan KPDN
ANGGOTA penguat kuasa KPDN Putrajaya memeriksa lori tangki di sebuah stor haram di Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Ihsan KPDN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan diesel bersubsidi di Rantau, Negeri Sembilan, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Aktiviti sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu yang dilakukan di kawasan terpencil terbongkar hasil siasatan dan risikan oleh pasukan penguat kuasa KPDN sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya melancarkan serbuan Op Tiris pada 5.15 pagi dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

"Dalam serbuan itu, pasukan menemui 25,000 liter diesel dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

"Turut ditemui dua lori tangki, pam bermotor, paip penyambung dan beberapa dokumen berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM183,720," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga lelaki yang mengaku sebagai pemilik lori dan pekerja premis ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Shamsul, berdasarkan maklumat modus operandi sindiket itu adalah menggunakan sebuah lori tangki bagi membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

"Diesel berkenaan kemudiannya akan dibawa ke stor haram itu untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki lain sebelum dijual kepada pemborong sekitar Negeri Sembilan serta Pahang," katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi siasatan lanjut dan mengenalpasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti berkenaan serta rangkaian pengedaran diesel termasuk sumber minyak diperoleh.

Untuk rekod, sebanyak 10,643 pemeriksaan dilakukan seluruh negara menerusi Op Tiris sejak 1 Mac sehingga semalam.

Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 471 kes dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM35.42 juta.

Selain itu, sebanyak 393 tangkapan dilakukan membabitkan 317 individu tempatan, warga asing (73) dan pemastautin tetap (3) dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 5:05 PM