KPDN menumpaskan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris di kawasan perindustrian Nilai. FOTO Ihsan KPDN.
KPDN menumpaskan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris di kawasan perindustrian Nilai. FOTO Ihsan KPDN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris dalam satu serbuan di premis tanpa nombor di kawasan perindustrian Nilai, disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel hari ini.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 11,000 liter selain sebuah lori, beberapa tangki yang kosong dan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Menurutnya, pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Minyak diesel, kenderaan lori, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,550.

"Dua lelaki di mana salah seorangnya warga tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori bersama seorang lagi individu bukan warga negara yang ditemui di dalam premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 1,954 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes dihasilkan yang membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta," katanya.

Beliau berkata, selain itu, syarikat ini juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan

Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 5:26 PM