Ahmad Hasbi


Seremban: Untung berlipat ganda hasil jualan diesel bersubsidi kepada perusahaan industri menyebabkan sindiket penyelewengan bahan api sanggup melabur ribuan ringgit menyewa stor haram dan mengubahsuai tangki tiga lori.

Malah, pemerhatian wartawan di lokasi serbuan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Kawasan Perindustrian Gala, di sini, mendapati sindiket turut dilengkapi tiga mesin penyedut bagi memindahkan diesel dari lori 'bonded' ke lori tangki.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan Ops Tiris itu membabitkan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, kira-kira jam 1 pagi semalam.

"Serbuan berjaya merampas 6,600 liter diesel dianggarkan bernilai RM14,190. Turut dirampas tiga lori, 10 tangki IBC dan peralatan digunakan bagi tujuan penyelewengan diesel.

"Turut dirampas wang tunai RM88,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM161,090," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, premis dipercayai disewa dan sudah beroperasi selama sebulan sebagai stor haram tempat pengumpulan dan penyimpanan sementara diesel bagi tujuan diseleweng.

Katanya, lima lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jelasnya lagi, sindiket membeli diesel bersubsidi stesen minyak dalam jumlah besar pada harga RM2.15 seliter dan menjual balik kepada perusahaan perindustrian pada harga RM3.90 hingga RM4.30 seliter.

"Untung berlipat ganda menyebabkan mereka berani menjalankan kegiatan ini malah sanggup untuk ubahsuai lori dan menyewa tapak di kawasan perindustrian yang tersorok.

"Kami juga tidak menolak kemungkinan permintaan daripada pemain industri juga menyebabkan sindiket ini berani kerana mereka membeli diesel pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran RM4.50," katanya.

Dalam satu lagi serbuan di Port Dickson, beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membuat pengisian diesel di sebuah stesen minyak.

"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 6,000 liter cecair disyaki diesel disimpan di dalam lapan tangki IBC di dalam lori.

"Turut ditemui adalah dua unit pam penyedut yang dipasang secara ubahsuai pada lori itu. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM42,900.00. Pemandu lori seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 4:26 PM
Muhammad Zahir (kanan) menunjukkan diesel bersubsidi yang dirampas di lokasi serbuan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Kawasan Perindustrian Gala. FOTO AZRUL EDHAM
Muhammad Zahir (kanan) menunjukkan diesel bersubsidi yang dirampas di lokasi serbuan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Kawasan Perindustrian Gala. FOTO AZRUL EDHAM