GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kerajaan ketika pandemik Covid-19 bermula pada 2020, dikesan antara penyumbang obesiti dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam tempoh tiga tahun itu, banyak aktiviti fizikal sekolah tidak dapat dijalankan.

Menurutnya, akibat terperap di rumah, ramai pelajar tidak melakukan senaman secara aktif, sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan permainan video.

"Pada masa sama, pengambilan makanan agak berlebihan kerana kebanyakan masa dihabiskan di rumah sahaja," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Kick-Off Projek Intervensi C-Hat di Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, perubahan demografi yang pesat dan transisi situasi pemakanan memberi impak besar terhadap persekitaran dan gaya hidup rakyat Malaysia.

"Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 24.6 peratus pada tahun 2012 kepada 30.5 peratus pada tahun 2022.

"Ini disebabkan kanak-kanak terdedah kepada makanan segera pada harga mampu milik dan bagi ibu bapa yang bekerja mereka tidak memantau pengambilan makanan berlebihan oleh anak-anak," katanya.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Inisiatif Pemerkasaan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG): Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) bagi menangani isu obesiti di sekolah.

Kesinambungan daripada inisiatif itu, KKM juga berkolaborasi dengan pihak United Nation Children's Fund (Unicef) untuk melaksanakan Projek Intervensi C-HAT di Sekolah.

"Projek ini berpandukan kepada satu modul intervensi komprehensif membabitkan komponen pemakanan, aktiviti fizikal dan senaman, kesihatan minda dan psikologi yang telah dibentuk.

"Sebanyak 49 sekolah di 10 negeri dengan bilangan murid seramai 2,427 orang yang bersedia untuk memulakan projek intervensi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 3:32 PM