Senaman adalah cara penting untuk menjaga kesihatan dengan baik. Kajian sains membuktikan senaman boleh menurunkan risiko mendapat penyakit kronik seperti jantung, strok, diabetes, darah tinggi dan kanser.

Kajian yang dilaporkan oleh United Kingdom Academy of Medical Royal Colleges menunjukkan, senaman selama 30 minit secara sederhana sebanyak lima kali seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit kronik sebanyak 30 peratus.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, senaman 30 minit secara sederhana tidak banyak membantu dalam menurunkan berat badan. Sesetengah orang beranggapan apabila bersenam secukupnya, dia boleh makan sesuka hati dan sebanyak yang diinginkan.

Hakikatnya, kajian sains menunjukkan, senaman semata-mata tidak memadai untuk memperoleh kesihatan yang baik. Sejak 30 tahun kebelakangan ini, masalah kegemukan atau obesiti semakin bertambah dan membelenggu masyarakat kita.

Kajian menunjukkan aktiviti fizikal masyarakat kita sekarang tidak terlalu banyak berubah berbanding masyarakat dulu, tetapi faktor makanan yang tinggi kalori dan makanan proses adalah pe–nyumbang utama kepada masalah berat badan berlebihan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh International Journal of Epidemiology pada 2013, aktiviti fizikal tidak mempengaruhi risiko obesiti berbanding pemakanan yang tidak sihat.

Epidemik obesiti sebenarnya penanda kecil kepada masalah kesihatan lebih besar dalam kalangan masyarakat moden hari ini akibat pemakanan berlebihan dan salah faham mengenai konsep pemakanan sihat.

Ini berdasarkan kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet yang menunjukkan masalah kesihatan yang melanda masyarakat kita hari ini berpunca daripada pemakanan salah dan tidak sihat yang menyebabkan penyakit kronik lebih banyak daripada faktor kurang aktiviti fizikal, merokok dan minum alkohol.

Kajian dibuat oleh University of California melaporkan, 40 peratus orang yang berat badannya normal mengalami masalah sindrom metabolik yang mempunyai masalah seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit hati berlemak (non alcoholic fatty liver disease) dan penyakit kardiovaskular.

Malangnya, fakta ini kurang mendapat perhatian saintis, ahli kesihatan dan pembuat polisi walaupun banyak kajian yang membuktikannya.

Ini menyebabkan kita hanya selalu mendengar atau melihat promosi kesihatan yang hanya menjurus kepada menjaga ‘berat badan’ melalui kiraan kalori dan banyak menyalahkan masalah obesiti kepada kurang senaman semata-mata.

Senaman pula terlalu menekankan kaedah ‘membakar kalori’. Makanan pula hanya dilihat dari aspek kalori semata-mata tanpa mempertimbangkan indeks glisemik, lemak trans, vitamin, mineral dan anti oksidan.

Menurut Dr Malhotra dari Academy of Medical Royal Colleges, United Kingdom, industri makanan proses banyak memberi persepsi salah dengan menyatakan punca masalah obesiti adalah semata-mata kerana kurangnya aktiviti fizikal dan jika seseorang makan kalori yang berlebihan, ia boleh ‘dibakar’ dengan bersenam saja.

Industri minuman bergas dari jenama syarikat gergasi dunia membelanjakan sehingga AS$3 bilion (RM10.6 bilion) setahun untuk pengiklanan yang mengaitkan minuman mereka dengan sukan dan mereka memberi mesej walaupun tinggi kalori, ia akan ‘dibakar’ dengan bersenam.

Hakikatnya, minuman produk mereka sangat tinggi dengan gula dan memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna. Kajian dijalankan saintis menunjukkan gula berlebihan akan menyebabkan lemak disimpan dengan lebih banyak dan merangsangkan selera tinggi yang menyebabkan pengguna cenderung untuk makan secara berlebihan.

Kajian menunjukkan, setiap lebihan 150 kalori gula yang diambil iaitu bersamaan dengan satu tin minuman bergas akan menyebabkan peningkatan sehingga sebelas kali ganda berlaku penyakit diabetes kepada penggunanya.

Ia dibandingkan dengan jumlah kalori sama diambil dari sumber lemak atau protein. Justeru me-

nyatakan semua kalori adalah sama nyata salah berdasarkan kajian ini. Kajian ini juga menunjukkan ia tidak dipengaruhi berat badan dan aktiviti fizikal seseorang.

Baru-baru ini, kajian dalam Jurnal Nutrition pada 2014 merumuskan, makanan berkarbohidrat perlu dihadkan sebagai langkah terbaik untuk mencegah sindrom metabolik, obesiti dan diabetes.

Kajian ini juga menyarankan bahawa mengawal pengambilan karbohidrat adalah langkah mula terbaik untuk pesakit diabetes mengawal paras glukosa dan ia memberi faedah kesihatan besar walaupun tanpa penurunan berat badan.

Pendapat menyatakan seseorang yang bersenam boleh makan karbohidrat dalam kuantiti banyak juga didapati tidak benar.

Ini berdasarkan kajian dilaporkan dalam British Journal of Sports Medicine pada 2014 yang merumuskan, makanan ahli sukan yang rendah karbohidrat dan tinggi lemak mampu membekalkan tenaga secukupnya ketika senaman berat.

Jika dilihat dari aspek ini, jelas bahawa masyarakat biasa yang kurang bersenam lebih perlu me–ngawal pengambilan karbohidrat yang berlebihan, terutama gula dan karbohidrat bergisemik indeks tinggi, dalam pemakanan seharian mereka.

Masyarakat perlu diberi kesedaran konsep yang betul mengenai pemakanan dan senaman supaya tidak terpedaya dengan konsep salah yang akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit kronik walaupun mereka bersenam secara konsisten tetapi tidak makan secara tidak sihat.

Pemakanan sihat dan betul sangat penting untuk mengawal kadar penyakit diabetes dan masalah obesiti yang membelenggu masyarakat Malaysia sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 10:30 AM