Omar Ahmad

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan gula negara.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan berkenaan.

Namun katanya di peringkat semasa, KPDN giat menjalankan Ops Manis bagi memastikan pengilang dan pemborong menjalankan tanggungjawab mereka membekalkan gula putih bertapis.

"Kita kena teruskan Ops Manis untuk pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat, bertapis putih kasar dan halus ini sebanyak 42,000 metrik tan sebulan.

"Itu tanggungjawab mereka (pengilang) perlu tunaikan begitu juga pemborong di bawah peraturan peraturan bekalan," katanya kepada pemberita di Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, Armizan menegaskan peniaga tidak dibenarkan mengenakan syarat dalam pembelian gula.

Katanya KPDN akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat, kononnya perlu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu jika mahu membeli gula pasir kasar.

"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan dan disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 3:25 PM