Datuk Armizan Mohd Ali hadir ketika pemantauan barang keperluan asas seperti barangan keperluan harian yang lain termasuk beras, gula, minyak masak dan sebagainya di Pasar Raya Sri Ternak Selayang Dan Pasar Raya NSK di Selayang. FOTO AHMAD UKASYAH
Datuk Armizan Mohd Ali hadir ketika pemantauan barang keperluan asas seperti barangan keperluan harian yang lain termasuk beras, gula, minyak masak dan sebagainya di Pasar Raya Sri Ternak Selayang Dan Pasar Raya NSK di Selayang. FOTO AHMAD UKASYAH
Noor Hidayah Tanzizi


Selayang: Kementerian. Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan 6,141 pemeriksaan di semua peringkat rantaian pengedaran beras membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit dalam pelaksanaan Ops Jamin bermula 7 Julai lalu hingga semalam.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 175 aduan membabitkan harga, bekalan dan beberapa perkara membabitkan beras.

Susulan itu, katanya, kementerian sudah menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tindakan lanjut pihak berkenaan.

"Ada yang menyebut bekalan beras tempatan tiada di pasaran dan saya akui pemantauan di dua premis hari ini pemiliknya memaklumkan berlaku gangguan bekalan beras tempatan. Bekalan ada tetapi jumlah diterima jauh berkurang daripada sebelum ini.

"Kita melakukan pemantauan dan KPDN tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan penentuan harga dan bekalan beras kerana ia di bawah Akta 522," katanya selepas mengadakan pemantauan harga barangan keperluan asas di dua premis, di sini, hari ini.

Katanya, pengagihan bekalan beras tempatan bukan berlaku selepas pengumuman kenaikan harga beras putih import (BPI) tetapi sudah berlaku sejak Ogos namun semakin serius sejak bulan ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama rapat dengan KPKM melalui Badan Selia Beras dan Padi (BKSBP) dalam mengatasi isu berkenaan demi kepentingan masyarakat.

"Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, harga purata tertinggi beras putih import (BPI) di Semenanjung Malaysia adalah RM40.65.

"Harga purata beras putih import di Sarawak adalah RM39.21, di Sabah RM37.09 dan Wilayah Persekutuan Labuan RM37.83," katanya.

Mengenai dakwaan isu berlaku bekalan beras disorokkan seperti tular di media sosial, Armizan berkata, bidang kuasa pihaknya adalah terhad kepada pemeriksaan dan pemantauan, manakala tindakan penguatkuasaan di peringkat KPKM.

"Beras di peringkat KPDN dalam konteks pencatutan, menyorok dan sebagainya kita hanya boleh memantau tetapi daripada segi tindakan adalah di peringkat KPKM kerana ia berkaitan bekalan.

"Bagi aspek minyak paket tular apabila kita siasat ia sebenarnya tidak berlaku sebagaimana didakwa. Ada salah faham. Gula pula adalah antara barang kita pantau dengan rapat, buat masa sekarang bekalan masih stabil.

"Bagaimanapun kita memerlukan maklumat dan berharap media menghebahkan kepada masyarakat untuk memberi maklumat menyeluruh meliputi lokasi, kedai dan tarikh untuk membuat pemantauan segera aduan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:07 PM