Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melantik lima pemborong utama dalam usaha mengatasi krisis berhubung bekalan gula di peringkat peruncit di negeri itu.

Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata, lima pemborong itu akan menjadi pengantara antara pihaknya dan peruncit supaya masalah pembekalan gula dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, usaha itu adalah di bawah pelan tindakan dedicated direct wholesaler (DDW) atau pemborong terpilih yang dilancarkan semalam.

"Melalui pelan tindakan yang dilaksanakan itu, pemborong yang dilantik bakal mendapat 30 peratus gula tambahan daripada pengilang.

"Setakat ini, jumlah pengedaran gula satu kilogram (kg) di seluruh Pulau Pinang adalah 628.4 tan metrik yang mana pecahan bagi Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah adalah 378.2 tan metrik, Timur Laut dan Barat Daya (174.7 tan metrik) manakala Seberang Perai Utara (75.5 tan metrik).

"Premis yang didapati tidak mempunyai gula sudah diarahkan untuk pergi ke pemborong yang KPDN Pulau Pinang tetapkan bagi untuk mendapatkan bekalan gula," katanya pada sidang media ketika diminta mengulas berhubung isu gangguan bekalan gula yang melanda di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, di bawah pelan yang dilancarkan itu, pihaknya sudah membantu lapan peruncit yang menghubungi mereka bagi mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik KPDN negeri.

"Peruncit-peruncit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gula perlu menghubungi talian pejabat 04-3840154/155/158 dan seterusnya Unit Bekalan akan memaklumkan di mana dan cara mereka boleh mendapatkan bekalan gula daripada pemborong yang dilantik.

"Dengan langkah yang dilaksanakan ini, kita harap dapat membantu pengguna mendapatkan gula di mana-mana kawasan yang terjejas di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Jegan berkata, pemborong dilantik hanya akan menjual gula kepada peruncit dengan arahan daripada KPDN negeri sahaja dan pelanggan baru yang datang secara walk-in (jumpa terus) tidak akan dapat membeli gula sebagai langkah kawalan.

"Hal ini, kita tidak mahu timbul sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab membeli gula dalam kuantiti yang banyak daripada satu pemborong ke pemborong yang lain, seterusnya mengakibatkan pengguna lain tidak boleh mendapatkan bekalan gula yang sepatutnya dinikmati bersama," katanya.

Jelasnya, sehingga kini, KPDN negeri sudah melaksanakan 840 pemeriksaan premis berhubung bekalan gula.

"Daripada sudut aduan pula, kita menerima aduan dan kesemuanya sudah disiasat yang mana aduan itu membabitkan tiada stok dan tiada tanda harga pada gula yang dijual.

"Kita berharap pengguna dapat salurkan maklumat sekiranya berlaku gangguan bekalan gula di mana-mana kawasan di seluruh negeri ini supaya pengedaran dapat diselaraskan kepada kawasan berkenaan dengan kadar segera," katanya.

JEGAN mengulas isu bekalan gula ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Ekshibit KPDN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
JEGAN mengulas isu bekalan gula ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Ekshibit KPDN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 3:43 PM