Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Replika Jalur Gemilang bersaiz sebesar 23 meter panjang dan 8.5 meter lebar dicipta murid Tadika Mega Genius menggunakan dulang telur sempena Hari Kemerdekaan ke-66 berjaya menempa nama di Malaysia Book of Records (MBOR) semalam.

Pengetua Tadika Mega Genius, R Mohanambal berkata sebanyak 2,128 keping dulang telur digunakan serta ia mengambil tempoh kira-kira tiga minggu untuk disiapkan.

Beliau berkata, seramai 86 murid dengan kerjasama kumpulan guru dan ibu bapa terbabit dalam aktiviti mewarna dulang telur berkenaan.

Menurutnya, mereka juga terbabit dalam aktiviti penyusunan dulang telur yang sudah diwarnakan di Dewan Raya Gelang Patah mulai petang kelmarin hingga awal pagi semalam.

Katanya, kesemua dulang telur berkenaan adalah sumbangan keluarga murid tadika manakala pengurusan tadika menyediakan bahan untuk mewarna.

"Sudah menjadi tradisi tadika kami yang beroperasi di Nusantara Prima, Gelang Patah untuk mengadakan program sambutan Hari Kemerdekaan sejak lima tahun lalu.

"Saya kagum melihat kesungguhan murid, keluarga mereka serta guru bagi menjayakan usaha cipta replika ini sehingga ia direkod sebagai bendera terpanjang menggunakan dulang telur.

"Saya yakin menerusi aktiviti seumpama ini, kumpulan murid sedikit sebanyak dapat berasakan kemeriahan sambutan hari kemerdekaan sekali gus mempamerkan semangat cintakan negara," katanya.

MURID Tadika Mega Genius berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menghasilkan bendera terpanjang menggunakan dulang telur. FOTO Mary Victoria Dass
MURID Tadika Mega Genius berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menghasilkan bendera terpanjang menggunakan dulang telur. FOTO Mary Victoria Dass

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program sambutan Hari Kemerdekaan Tadika Mega Genius di Dewan Raya Gelang Patah di sini semalam.

Penyerahan sijil disampaikan oleh Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, N Saraswati.

Sementara itu, Saraswati yang turut menyempurnakan program berkata, aktiviti seumpama itu mampu menerapkan nilai murni seperti cintakan tanah air, berdisiplin dan berkerjasama di samping untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga tadika.

"Walaupun hanya berusia tiga hingga enam tahun, semangat mereka bagi meraikan Hari Kemerdekaan luar biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:15 AM