Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Kibaran Jalur Gemilang sepanjang 1,221.74 meter dilakukan 106 sukarelawan di dalam Gua Kelam, d sini, hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai kibaran bendera terpanjang dalam gua di negara ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, idea bagi merealisasikan projek itu dirangka sejak 2018 dengan berobjektifkan semangat Malaysia Boleh dan semangat cintakan perpaduan.

Beliau yang juga pengarah program berkenaan berkata, idea asal mereka adalah bagi menghiasi laluan Gua Kelam 1 dan 2 dengan bendera, namun ia diubah kepada kibaran Jalur Gemilang.

"Ia ditukar kepada kibaran Jalur Gemilang sepanjang lebih 1.2 kilometer yang dibawa 63 sukarelawan terdiri daripada komuniti setempat di Bukit Jernih, Kaki Bukit dan Wang Kelian.

"Manakala 43 sukarelawan lagi ditugaskan memastikan bendera tidak terkoyak sepanjang ia dibawa masuk merentasi gua selain memastikan kerja teknikal berjalan lancar," katanya ketika ditemui, di sini.

Wakil MBOR Edwin Yeoh dan Nurul Farihah Mahmood kemudian menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof selaku ketua kontinjen sukarelawan.

Difahamkan, pengiktirafan itu adalah kali pertama diberi bagi aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang di dalam gua selain ia dilakukan pada sambutan Hari Malaysia.

Sementara itu, sukarelawan, Mohd Danial Azizan, 24, berkata dia berbangga apabila menjadi sebahagian daripada projek mengibar Jalur Gemilang berkenaan.

"Memang saya rasa teruja dan gembira kerana penat lelah berjalan sejauh 1.2 kilometer sambil memegang Jalur Gemilang yang panjang nyata berbaloi.

"Pada masa sama, kami dapat menghayati semangat kenegaraan dan kerjasama antara pasukan yang ditunjukkan setiap peserta dalam mencapai objektif aktiviti ini," katanya.

AZMAN ketika mengetuai Kontinjen sukarelawan membawa Jalur Gemilang sepanjang 1.22 kilometer hingga berjaya mencatat rekod mengkibarkan Jalur Gemilang terpanjang di dalam gua. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
AZMAN ketika mengetuai Kontinjen sukarelawan membawa Jalur Gemilang sepanjang 1.22 kilometer hingga berjaya mencatat rekod mengkibarkan Jalur Gemilang terpanjang di dalam gua. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 3:16 PM