Alias Abd Rani


Muar: Perikatan Nasional (PN) terutama PAS bersedia berhadapan dengan sebarang naratif yang dilontarkan mereka termasuk istilah 'gelombang hijau' yang digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bulan depan.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata naratif itu kerap dimainkan seteru politik untuk menghalang pengundi bukan Melayu mengundi calon PN.

Beliau berkata, apa yang berlaku di enam negeri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang menyaksikan PN menang besar, sebenarnya berpunca daripada kebangkitan rakyat dan bukannya gelombang hijau.

"Orang lain terutama pengundi rakyat boleh menilainya. Istilah gelombang hijau adalah kejayaan mereka membina naratif dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan pada masa sama cuba menakutkan pengundi Melayu.

"Jadi, ia satu benda yang perlu difahamkan secara positif kerana 'hijau' melambangkan alam tetapi apabila dipersembahkan secara negatif, maka datang persepsi orang lain dalam bentuk negatif.

"Saya percaya apa yang berlaku di enam negeri (gelombang kebangkitan rakyat), pasti berulang lagi pada PRK ini," katanya selepas Taujihat 3 Pesuruhjaya PAS sempena PRK di Markas PAS Bakri, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha serta Pengarah Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Rusman Kemin.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, PN juga mengharap undi daripada ahli atau pemimpin tempatan UMNO yang kecewa, mengundi parti itu pada PRK ini.

Beliau berkata, mereka boleh mengundi PN sekiranya tidak berpuas hati atau protes terhadap pemimpin atasan seperti mana berlaku ketika PRN lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan PAS sekali lagi diberi peluang untuk bertanding di DUN Simpang Jeram.

Katanya, calon PAS akan diketahui Rabu ini dalam satu majlis yang akan dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Menteri Besar Terengganu serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Calon PAS yang mewakili PN ini terdiri golongan profesional setaraf dengan calon lawan. Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan namanya kerana tidak mahu mendahului pemimpin atasan parti.

"Sebelum ini, kita menyerahkan tiga nama calon DUN Simpang Jeram dan parti sudah membuat keputusan menamakan calon terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 1:45 PM