ANNUAR menyifatkan PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram sebagai medan untuk menguji sejauh mana Umno memberi nilai tambah kepada kerajaan perpaduan Madani. FOTO Arkib NSTP.
ANNUAR menyifatkan PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram sebagai medan untuk menguji sejauh mana Umno memberi nilai tambah kepada kerajaan perpaduan Madani. FOTO Arkib NSTP.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, Johor sebagai benteng terakhir Umno untuk memberi nilai tambah kepada Kerajaan Madani.

"PRK pada 9 September depan akan menguji sejauh mana Umno dapat ditunggangi Pakatan Harapan (PH) di Johor, walaupun ia (PRK) tidak membabitkan calon Umno.

"Parti itu khususnya Umno Johor boleh menarik nafas lega kerana kedua-dua kerusi (calon) milik Amanah yang juga kubu kuat PH, berbekalkan sokongan pengundi bukan Melayu yang ramai di sana.

"Namun, perlu diingat bahawa Bangsa Johor adalah pelopor yang menjadi teras pembinaan dan kuasa pemerintahan Tanah Melayu dan Malaysia. Aliran pemikiran politiknya mempunyai tahap kematangan yang amat tinggi terutama dalam kalangan Melayu Johor.

"Pemikiran pemimpin Melayu Johor agak terkedepan termasuk pemimpin Umno Johor," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengerusi Muafakat Nasional itu berkata, tidak mustahil Melayu Johor mengundi dengan bijaksana untuk menghantar isyarat kepada pemimpin Umno luar Johor yang dilihat terus menjadi liabiliti kepada parti itu sendiri.

"Jika itu berlaku, tidak mustahil Bangsa Johor akan memberi sokongan secara pukal kepada Perikatan Nasional (PN), dan ia menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki Umno," katanya.

Beliau berpandangan pengundi Johor mungkin sekali lagi menjadi pembimbing penyatuan ummah, khususnya menyatukan orang Melayu dengan memberi undi progresif kepada calon PN.

PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon gabungan PH-Barisan Nasional (PH-BN), PN dan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 10:21 PM