JENAZAH Muhamad Hafiz tiba di Masjid Al Huda Kampung Jerong. FOTO Syaharim Abidin
JENAZAH Muhamad Hafiz tiba di Masjid Al Huda Kampung Jerong. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, kelmarin, tiba di Masjid Al Huda Kampung Jerong, di sini, jam 2.57 petang.

Jenazah disambut dengan kehadiran lebih 500 orang yang berada di perkarangan masjid kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Lebih 200 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan oleh Aziddin Mat Arifin sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran masjid untuk proses pengebumian jam 3.10 petang.

Suasana sedih menyelubungi perkarangan masjid sebaik keluarga Allahyarham tiba dan berjumpa dengan saudara mara yang menunggu.

Kelmarin, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Turut terbabit dalam nahas, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:28 PM