MUHAMAD Hafiz (depan, kanan) bergambar bersama keluarganya termasuk Norhikmah (berdiri kanan). FOTO Ihsan keluarga
MUHAMAD Hafiz (depan, kanan) bergambar bersama keluarganya termasuk Norhikmah (berdiri kanan). FOTO Ihsan keluarga
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: "Arwah selalu hubungi kami sekeluarga di kampung, kali terakhir pada minggu lalu," kata Jamaliah Ismail, 53.

Jamaliah ibu kepada Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 penghantar makanan yang maut dalam nahas pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, kelmarin.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menghubungi keluarga seperti biasa.

"Saya dapat tahu jenazah sudah boleh dituntut pada jam 12 tengah malam tadi sebelum segala proses selesai pada jam 3 pagi,

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, hari ini," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.

Sementara itu, ayah mangsa, Muhammad Saleh Othman, 57, berkata jenazah anak sulung daripada lima beradik itu sebelum itu akan diuruskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan oleh pihak Jais dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani.

"Insha-Allah, jenazah akan dikebumikan hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit dalam pengurusan jenazah Allahyarham ini," katanya.

Kelmarin, pesawat ringan dari Langkawi menuju ke Subang dilaporkan terhempas di Elmina, Shah Alam.

Polis terdahulu mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat jenis jet peribadi yang terhempas kira-kira jam 2.40 petang.

Tragedi itu turut mengorbankan Muhamad Hafiz yang sedang menunggang motosikal di kawasan berkenaan, ketika kejadian.

Selain Muhamad Hafiz, nahas turut mengorbankan dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan p-hailing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 10:21 AM