JENAZAH Allahyarham Muhamad Hafiz selamat dikebumukan. FOTO Syaharim Abidin
JENAZAH Allahyarham Muhamad Hafiz selamat dikebumukan. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda Kampung Jerong, di sini, hari ini.

Lebih 200 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan oleh bilal 1, Aziddin Mat Arifin sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran masjid untuk dikebumikan.

Jenazah selamat dikebumikan pada 3.45 petang.

Suasana sedih menyelubungi di perkarangan masjid sebaik sahaja keluarga Allahyarham tiba dan berjumpa dengan saudara mara yang menunggu di masjid.

Terdahulu, penghantar makanan itu adalah jenazah pertama yang sah dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah kemudiannya dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, pada 9.30 pagi ini.

Serahan jenazah Allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan memberi kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas terbabit.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 4:17 PM