Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: Jenazah pertama mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam dituntut ahli keluarganya pada jam 9.30 pagi, hari ini.

Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 dibawa ke Masjid Al Rahimiah, di sini untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Kedah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat pertama yang dikenal pasti itu adalah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 seorang penunggang p-hailing.

"Kita akan serahkan jenazah kepada waris iaitu bapa Allahyarham dan jenazah akan diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Pihak polis juga akan mengaturkan perjalanan van jenazah, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Rahimiah untuk disolatkan sebelum ke Sungai Petani, Kedah seperti mana kehendak keluarga.

"Seluruh petugas, PDRM dan petugas kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham," katanya pada sidang media di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Terdahulu waris dan keluarga Allayarham Muhamad Hafiz dilihat tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Turut tiba ialah van jenazah milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipercayai bagi membawa jenazah Allahyarham ke Sungai Petani, Kedah.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang kelmarin itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan p-hailing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 10:04 AM