KLANG 19 OGOS 2023. Jenazah, penunggang motosikal p-hailing, Muhamad Hafiz Muhammad Saleh selesai dimandikan untuk disolat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang susulan tragedi Jet penumpang yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KLANG 19 OGOS 2023. Jenazah, penunggang motosikal p-hailing, Muhamad Hafiz Muhammad Saleh selesai dimandikan untuk disolat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang susulan tragedi Jet penumpang yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: "Arwah agak kurang bercakap dan tidak ceria sedangkan dia amat peramah sebelum ini," kata Mohd Rosmaini Sahlan, 42.

Mohd Rosmaini adalah rakan kepada penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat ringan terhempas di Elmina, Shah Alam kelmarin.

Menurutnya, dia kali terakhir menemui arwah di kawasan sebuah lot kedai di Subang Bestari, beberapa hari sebelum kejadian itu.

Menurutnya, dia bersama beberapa rakan penghantar makanan lain sedang menunggu tempahan pelanggan di situ.

"Namun saya agak pelik kerana melihat arwah agak kurang bercakap dan tidak ceria sedangkan dia amat peramah sebelum ini.

"Selain itu, dia agak menyendiri dan tidak sangka ia petanda awal pergi meninggalkan kami buat selamanya," katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan disembahyangkan di masjid itu selepas dituntut keluarga di Jabatan Forensik HTAR.

Mohd Rosmaini berkata, arwah meluahkan hasrat mahu mencari wang membantu kos perbelanjaan perkahwinan adik perempuannya.

"Dia pernah memberitahu ingin mengumpul wang untuk majlis perkahwinan itu dan sanggup bekerja siang dan malam.

"Selain itu, dia juga menjemput rakan-rakan 'rider' untuk menghadiri kenduri itu di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada 26 Ogos depan," katanya.

Dia berkata, arwah disifatkan sebagai sahabat yang amat baik dan tidak lokek dengan semua rakannya.

Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz dijangka dikebumikan di Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah hari ini.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Allahyarham Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut 'Allahuakbar' sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 1:26 PM