KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang didiami 22 keluarga di Rumah Panjang Ningkan di Lembong Suai. FOTO Ihsan Pembaca
KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang didiami 22 keluarga di Rumah Panjang Ningkan di Lembong Suai. FOTO Ihsan Pembaca
Erika George


Miri: Seramai 112 penduduk di rumah panjang Ningkan di Lembong Suai, dekat sini hilang tempat berteduh selepas rumah panjang yang didiami sejak 31 tahun lalu musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan 1.14 petang.

Menurutnya, tiba di lokasi pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang jenis tidak kekal setingkat yang dihuni 22 keluarga itu.

"Pasukan bomba memadam kebakaran selama satu jam yang mana api berjaya dikawal pada 2.30 petang.

"Kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran serta anggaran kerugian dialami penduduk bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 12:49 AM