SEBAHAGIAN mangsa kebakaran rumah panjang yang cedera akibat melecur mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Klinik Julau. FOTO Khalid Latip
SEBAHAGIAN mangsa kebakaran rumah panjang yang cedera akibat melecur mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Klinik Julau. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


LIMA penduduk melecur ketika meredah api untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah panjang di Nanga Melayong, Sungai Merurun, di Julau petang semalam.

Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa yang cedera dalam kejadian 4.30 petang itu, termasuk seorang warga emas berusia 80 tahun.

Katanya, kesemua mangsa melecur pada tangan dan badan selepas cuba menyelamatkan diri sejurus menyedari kebakaran berlaku di rumah panjang berkenaan.

“Semua mangsa selamat selepas bertindak dengan pantas kerana api marak terlalu pantas dan meranapkan hampir keseluruhan struktur rumah.

“Mereka kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Julau untuk menerima rawatan dan keadaan kesemua mangsa dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan rumah panjang 15 pintu itu musnah, manakala kesemua 89 orang penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

“Anggota bomba bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Bintangor itu selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.07 petang.

“Kejadian mengakibatkan rumah jenis separuh kekal ini sudah musnah sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu adalah yang ketiga membabitkan kebakaran rumah panjang di Sarawak sepanjang bulan ini.

“Anggota bomba masih memantau keadaan di lokasi kejadian bagi mengelak insiden sama berulang, selain mengenalpasti punca sebenar kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 9:40 AM