PASUKAN bomba berusaha mengeluarkan objek dipercayai serpihan roket Long March 5B. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba berusaha mengeluarkan objek dipercayai serpihan roket Long March 5B. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Miri: Objek seberat 27 kilogram dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China terjatuh di pekan lama Sepupok, Niah berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelemat dalam masa 24 minit, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah Rary Binjie berkata, sejurus sampai di lokasi itu, pasukannya bertindak mengeluarkan objek berkedalaman 0.61 meter itu bermula 2.15 hingga 2.39 petang.

"Sejurus berjaya dikeluarkan, objek terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut berada di lokasi kejadian ialah pegawai dari Agensi Angkasa Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada 5.30 petang kelmarin, penduduk di pekan itu dikejutkan dengan penemuan objek berupa serpihan logam.

Pada hari sama, penduduk di kawasan berkenaan bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi berhubung penemuan serpihan logam terbabit.

Serpihan logam dipercayai dari roket Long March 5B itu turut ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit persendirian milik seorang penduduk di Kampung Hulu Nyalau kelmarin dan sudah diambil Lembaga Perlesenan Tenaga Atom untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 5:23 PM