Erika George


Miri: Lapan keluarga yang sedang tidur nyenyak hanya sempat lari menyelamatkan diri selepas rumah panjang yang didiami mereka di Kampung Pa Derung Bario musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian berlaku pada 1 pagi itu, kesemua penghuni sedang tidur nyenyak sebelum terbangun selepas terhidu bau asap dari sebuah bilik di rumah panjang terbabit.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi mengesahkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.30 pagi.

Menurutnya, rumah panjang yang jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku.

"Mujurlah kesemua penghuni yang dalam anggaran seramai 20 orang itu sempat lari menyelamatkan diri dan tidak mendatangkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

"Kita turut difahamkan bahawa Pasukan Bomba Sukarela Bario turut berada di lokasi kejadian bagi memadam kebakaran, namun api marak dengan pantas sehingga menyebabkan kebakaran sukar dikawal dan memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang," katanya.

KEADAAN Rumah Panjang Kampung Pa Derong Bario yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
KEADAAN Rumah Panjang Kampung Pa Derong Bario yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE

Tambahnya, setakat ini semua mangsa menetap sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 10:28 AM